Pernah tak anda perhatikan talian elektrik atas tiang di depan kilang? Selalunya ada empat biji wayar. Tapi talian yang masuk ke rumah kita, kadangkala cuma dua. Ia bukan rawak — ada sebab bijak di sebaliknya. Rumah guna satu fasa, kilang guna tiga fasa. Dalam episod ke-4 siri Belajar Pasal Eletrik ini, kita ceritakan kenapa.

Talian elektrik ke kilang banyak wayar, ke rumah cuma dua

Fasa itu apa sebenarnya?

Fasa ialah cara kuasa elektrik sampai kepada kita. Cara paling mudah untuk faham ialah melalui analogi buaian di taman permainan. Bayangkan anda menolak seorang budak atas buaian: anda tolak, lepas, tolak lagi. Itulah cara kuasa satu fasa sampai — dalam bentuk denyutan.

Menolak buaian — analogi mudah memahami fasa elektrik

Seorang penolak vs tiga orang penolak

Bila seorang sahaja yang menolak, buaian itu bergerak kuat-lemah, kuat-lemah. Ada masa ia meluncur perlahan tanpa dorongan. Itulah satu fasa: kuasa datang dalam bentuk denyutan, dan ia sempat “kosong” di antara gelombang — 50 kali sesaat di Malaysia.

Sekarang bayangkan tiga orang menolak buaian yang sama. Mereka ambil giliran, satu demi satu, mengikut masa yang rapi. Bila seorang habis menolak, orang kedua sudah bersedia. Hasilnya? Buaian bergerak lancar dan stabil — kuasa tak pernah kosong. Itulah tiga fasa.

Tiga orang ambil giliran menolak buaian — konsep tiga fasa

Kenapa motor besar perlukan bekalan stabil?

Motor besar, pam dan kompresor di kilang perlukan kuasa yang sentiasa stabil. Motor tiga fasa lebih mudah start, reka bentuknya lebih ringkas (tak perlu kapasitor start), dan tahan lasak untuk kerja berat setiap hari.

Motor tiga fasa di kilang — mudah start dan tahan lasak

Kecekapan: kuasa sama, arus lebih rendah

Dengan tiga fasa, kuasa yang sama dihantar menggunakan arus yang lebih rendah pada setiap wayar. Wayar boleh lebih kurus, dan kurang tenaga terbuang menjadi haba. Untuk industri yang beroperasi 24 jam, penjimatan ini besar.

Panel distribusi tiga fasa di premis perindustrian

Beza voltan: 240V vs 415V

Di Malaysia, bekalan satu fasa ialah sekitar 240V. Bekalan tiga fasa pula sekitar 415V antara fasa. Voltan lebih tinggi ini membolehkan mesin berat beroperasi tanpa perlu wayar sebesar lengan tangan.

Beban seimbang, sistem cekap

Dalam instalasi tiga fasa yang betul, beban dibahagi rata pada ketiga-tiga fasa. Sistem menjadi seimbang dan cekap — inilah sebab pereka bangunan industri sanggup bayar lebih untuk bekalan 3 fasa sejak dari mula.

Macam mana nak tahu premis anda 3 fasa?

Mudah sahaja: buka papan suis utama dan lihat breaker masuk. Kalau ia breaker tiga tiang yang bergerak serentak, premis anda guna tiga fasa. Kalau satu tiang sahaja, itu bekalan satu fasa seperti kebanyakan rumah.

Papan suis utama — breaker tiga tiang menandakan bekalan tiga fasa

Kaitan dengan genset

Bila memilih genset, padankan fasa genset dengan fasa beban anda. Rumah dan pejabat kecil biasanya cukup dengan genset satu fasa. Kilang dengan motor tiga fasa perlukan genset tiga fasa — jika tidak, motor anda tak akan berjalan dengan betul. Kalau you risau tentang bekalan tak cukup atau trip selalu, masa yang baik untuk pertimbang 3 fasa.

Penutup

Satu fasa untuk rumah. Tiga fasa ialah nadi industri. Fahami beza ini, dan anda akan buat keputusan lebih bijak — sama ada bila renovate rumah, sewa kilang, ataupun memilih genset yang sesuai.

Tiga fasa ialah nadi industri Malaysia

Tonton video penuh: di sini atau di YouTube.

Nak belajar lebih pasal elektrik? Subscribe sekarang!